“Allah”, nama bagi Tuhan Yang Maha Esa. Perkataan Allah ini mempunyai erti yang meliputi seluruh pengertian yang terkandung dalam seluruh Nama Allah (Asmaul-Husna), iaitu Tuhan yang satu yang mempunyai segala sifat kesempurnaan dan kepimpinan Yang Maha Besar, Maha Tinggi serta Maha Kuasa.
Tidak ada yang patut disembah, dipuji, ditaati selain daripada Dia. Tidak ada yang benar-benar berkuasa, pengasih, penyayang dan pemurah selain daripada Dia. Seluruh manusia wajib melakukan ibadat kepada-Nya pada setiap tempat dan masa sebagaimana yang telah dilakukan oleh para Nabi, solehin dan syuhada sejak dahulu kala.
Lafaz Allah ini bukanlah manusia yang menamakannya, bahkan zat-Nya yang Maha Esa yang memberikan nama itu bagi diri-Nya. Kalimat Allah tidak dapat diterjemahkan dalam mana-mana bahasa kerana tiada satu kalimat atau kata-kata yang lengkap yang dapat mengumpulkan pengertian kalimat jalallah ini.
Allah, Tuhan yang mempunyai segala sifat kebesaran, Maha Esa dan Maha Kuasa. Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya, yang menjadikan alam semesta ini.
Lafaz Allah ini juga disebut lafaz Jalallah. Ia juga disebut Ismudz Zat yakni Zat yang menciptakan seluruh isi langit dan bumi. Dia-lah Tuhan seru sekelian alam. Dia-lah yang mengeluarkan segala sesuatu daripada tiada kepada ada.
Allah hanya satu (tunggal), tidak ada sekutu bagi-Nya. Antara nama Allah yang berjumlah 99 atau lebih itu, lafaz Allah inilah yang paling banyak disebut di dalam al-Quran, iaitu 2696 kali.
“Allah” ialah nama yang lebih besar daripada kesemua 99 nama-Nya sebagaimana yang disebut dalam riwayat at-Tirmizi bahawa Ia suatu Zat yang merangkumi semua sifat ketuhanan, sedangkan nama yang lain seperti al-‘Aliim (Maha Mengetahui), al-Khaaliq (Maha Pencipta) dan al-Quddus (Maha Suci) tidaklah bersendirian melainkan menghubungkan “Allah”.
Bagi kebanyakan nama-Nya yang lain bolehlah dinamakan kepada yang selain-Nya seperti Berkuasa, Berilmu, Penyayang, Pemurah, Pelindung, Pengawas dan sebagainya. Tidak ada Tuhan selain Allah. Jika ada Tuhan selain-Nya ternyata ia palsu, dan pasti alam ini telah lama binasa atau musnah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Kalau ada Tuhan selain Allah, di langit dan di bumi maka langit dan bumi itu pasti jadi binasa.”
(Surah al-Anbiyaa’ 21:22)
Keyakinan kepada Allah, keyakinan kepada Tuhan Yang Maha Esa. Ia merupakan pangkal daripada sistematis keyakinan dan kepercayaan, selanjutnya asas tentang seluruh ajaran Islam. Oleh itu kalau tauhid lemah, sistematis dan asas itu pun tidak kukuh. Kalau ia goncang, semuanya dibawa bergoncang. Kalau orang ingin memahami Islam, ia harus bertolak dengan memahami tauhid. Kalau orang mahu meyakini Islam, ia harus bermula dengan meyakini Allah.
Begitu juga untuk meyakini dan memahami Allah terutamanya dari segi sifat, perbuatan dan zat-Nya, kita haruslah mengetahui nama Allah yang berjumlah 99 atau lebih daripada itu. Hal ini merupakan antara cara untuk meyakini dan mengimani kebesaran dan kekuasaan Allah secara lebih berkesan.
Dari segi amalan, manusia terutamanya umat Islam perlu bergantung harapan memanjatkan doa hanya kepada Allah. Segala yang lain tidak mampu memberi mudarat atau manfaat tanpa izin Allah S.W.T.
p/s: my very first entry after a long dozed.... :)
p/s: my very first entry after a long dozed.... :)

No comments:
Post a Comment