Ya Allah,
Aku memuji-Mu dengan pujian sepenuh langit, sepenuh bumi, dan sepenuh apa yang Engkau kehendaki setelah itu.

"Segala puji bagi Allah yang memiliki apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dengan segala puji di akhirat bagi Allah. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Teliti." (Surah Saba' :1)

Thursday 29 March 2012

~Ar-Rahmaan – Khasiat dan Cara Beramal~


Ar-Rahmaan – Khasiat dan Cara Beramal
1.   Barang siapa yang berzikir “Ya-Rahmaan”, 100 kali tiap-tiap hari setiap lepas solat fardu, insya-Allah dirinya terhindar daripada sifat lupa dan lalai.
2.   Barang siapa yang mengulangi menyebut “Ya-Rahmaan”, 100 kali setiap selepas solat fardu dirinya akan memperoleh ingatan yang baik, kesedaran yang mendalam dan memiliki hati yang bersih.


p/s: Istiqomah.... ;-)

Tuesday 27 March 2012

~AR-RAHMAN~

AR-RAHMAN (MAHA PEMURAH)


Ar-Rahman antara nama yang paling banyak disebut di dalam al-Quran sesudah “Allah”. Ia disebut kira-kira 800 kali. Lafaz ini berasal daripada kata rahmat yang bererti pemberi rahmat atau Maha Pengasih, Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Allah Maha Pemurah kepada sekelian hamba-Nya. Dia-lah Pemberi Rahmat, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Seisi langit dan bumi kesemuanya bergantung kepada rahmat Allah S.W.T.

Allah memberi rahmat kepada seluruh makhluk-Nya tanpa memilih kasih, tidak membezakan antara makhluk-Nya tanpa memilih kasih, tidak membezakan antara makhluk berakal atau tidak, antara manusia yang baik atau yang jahat, yang beriman atau yang kafir.

Rahmat Allah meliputi seluruh aspek kehidupan seperti kesihatan mental dan fizikal, penganugerahan isteri, anak-anak, harta dan sebagainya. Tanpa rahmat-Nya, hidup ini tiada ertinya. Kehidupan itu sendiri merupakan rahmat Allah.

Dia-lah yang memberi berkat dan kesenangan kepada semua makhluk dengan penuh keadilan. Makhluk memerlukan rahmat Allah selama-lamanya di dunia mahupun di akhirat.

Kenikmatan yang dikurniakan Allah kepada manusia dan seluruh makhluk-Nya tidak terhitung banyaknya. Manusia sebagai makhluk yang serba lemah dan kekurangan amat memerlukan petunjuk dan rahmat Allah S.W.T. Allah menurunkan pelbagai rahmat untuk keselesaan dan kesempurnaan hidup para hamba-Nya.

Manusia mesti yakin dengan sepenuhnya bahawa Allah Maha Pemurah. Makanan, minuman, rumah kediaman, kenderaan, udara yang dihirup, kesihatan tubuh badan, penglihatan, pendengaran, akal, hati dan serba aneka nikmat dikurniakan Allah S.W.T tanpa meminta balasan.

Jika diminta sekalipun, makhluk tidak mampu untuk membalasnya. Itu semua segelintir daripada anugerah Allah S.W.T.  Ada lagi nikmat dan limpah kurnia yang diberi Allah yang datang mencurah-curah. Kadangkala limpah kurnia itu sudah ada sebelum hamba-Nya meminta daripada-Nya. Allah Maha Mengetahui keperluan hamba-Nya. Sewajarnya sebagai hamba, kita perlu bersyukur dengan segala nikmat tersebut.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan Dia yang telah memberikan sebahagian daripada apa yang kamu tidak akan dapat menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu banyak kesalahannya dan tiada tahu berterima kasih (menghargai jasa).”
(Surah Ibrahim 14:34)

Dalam sebuah hadith kudsi, Ibn Abbas r.a menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Taala berfirman yang bermaksud:
“Aku Allah, tiada Tuhan melainkan Aku. Rahmat-Ku mendahului murka-Ku, maka barang siapa menyatakan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad ialah hamba dan pesuruh-Nya, dia patut masuk syurga.”
(Riwayat ad-Dailami)

Dalam hadith kudsi yang lain, Abu Hurairah r.a menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Taala berfirman yang bermaksud:
“Aku-lah ar-Rahmaan. Daripada nama-Ku ini terambillah kata rahiim-rahiim kerabat, barang siapa menyambungnya (bersilaturahim), Aku akan sambungkan dia, barang siapa memutuskannya, Aku akan putus (hubungan-Ku) dengan dia dan barang siapa menegakkannya (tali kerabat), Aku tegakkanlah ia. Sesungguhnya rahmat-Ku telah mendahului murka-Ku.”
(Riwayat Ahmad al-Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi, Ibn Hibban, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Allah S.W.T yang bersifat dengan sifat yang Maha Agung dan sempurna dalam segala-galanya Maha Pemurah. Bagi ahli tasawuf dan hakikat ilmu tauhid, yang dimaksudkan dengan Maha Pemurah bagi Allah S.W.T ialah “Tuhan apabila berkuasa atas segala sesuatu maka disertai kekuasaan-Nya dengan kemaafan-Nya bukan dengan keperkasaan-Nya. Apabila Dia berjanji maka disempurnakan janji-Nya.”

Apabila Dia memberi, maka pemberian-Nya sampai kepada sehabis-habis harapan hamba-Nya. Tidak peduli bagi-Nya berapakah pemberian yang telah diberikan dan tidak peduli pula bagi-Nya kepada siapakah Dia memberikan dan mencurahkan pemberian-Nya.

“Jika anda bermohon selain-Nya, Dia tidak redha dan tidak suka. Apabila si hamba-Nya berkeras sikap terhadap-Nya, meskipun Dia kadang-kadang tidak senang, tetapi bukan bererti Dia jauh. Dia tidak mensia-siakan sesiapa sahaja yang berlindung di bawah-Nya dan antara Dia dengan makhluk-Nya, tidak ada perantaraan, tetapi terus secara langsung kepada-Nya.”

Demikianlah Allah S.W.T Yang Maha Pemurah dalam segala keadaan. Maka tidaklah wajar bagi makhluk-Nya melampaui Tuhannya, sehingga mereka lebih mendahulukan selain Allah S.W.T. Hal ini tidak mungkin dilakukan jika hamba-Nya benar-benar mengetahui sifat-sifat kemahapemurahan Allah S.W.T.

Untuk mencotohi sifat ar-Rahmaan dalam kehidupan sehari-hari, kita berkewajipan mengasihi hamba-hamba Allah yang lalai dengan mengembalikan mereka ke jalan yang diredhai Allah menerusi pengajaran dan nasihat serta seberapa daya usaha menjauhkan mereka daripada bencana. Kita perlu bersifat pemurah kepada sekelian manusia terutama jiran-jiran.

Tersebutlah dalam hadith kudsi daripada Tuhan Yang Maha Mulia Tabaraka wa Taala:
“Agama (Islam) ini Aku senangi bagi diri-Ku, dan tidak akan baik dia melainkan dengan sifat pemurah dan budi luhur. Oleh itu muliakanlah Islam dengan kedua-dua sifat itu selama kamu menganutnya!”
(Riwayat ar-Rafi’i daripada Anas, Samuaihi, Ibn Adi, Uqaily, al-Kharaithy, al-Khathieb dan Ibn Asakir)

p/s: Ya Allah terima kasih atas setiap kurniaan-Mu...sesungguhnya terkadang aku alpa dan leka hingga lupa untuk bersyukur dengan setiap nikmat yang Engkau kurniakan buatku... Thank you Allah.... :-)

Monday 26 March 2012

~Allah – Khasiat dan Cara Beramal~


1.   Barang siapa yang melazimkan membaca “Ya-Allah”, 5000 kali pada setiap malam selama sebulan dengan hati yang khusyuk dan tawaduk (merendah diri kepada Allah), insya-Allah segala hajatnya terkabul.
2.   Barang siapa berzikir “Ya-Allah”, 5000 kali tiap-tiap hari insya-Allah rezekinya datang mencurah-curah.
3.   Barang siapa berzikir “Ya-Allah”, 66 kali selama 66 hari tiap-tiap selepas solat fardu, insya-Allah dirinya memperoleh kemuliaan dan kebaikan yang banyak dalam ilmu duniawi dan ukhrawi. Oleh itu lebih baik diamalkan terus pada setiap hari.
4.   Barang siapa berzikir “Ya-Allah-Ya-Haiyu”, 1000 kali pada setiap hari, insya-Allah dirinya diberi sifat yakin yang sempurna.
5.   Barang siapa berzikir “Ya-Allah-Ya-Haiyu”, 100 kali pada setiap hari Jumaat sebelum solat Jumaat, dalam keadaan dirinya suci daripada hadas dan najis serta menghadirkan hati (khusyuk), insya-Allah dimudahkan baginya segala yang dituntut dan diperjuangkan.

p/s: wallahu'alam... :-)

Sunday 25 March 2012

~ALLAH~



“Allah”, nama bagi Tuhan Yang Maha Esa. Perkataan Allah ini mempunyai erti yang meliputi seluruh pengertian yang terkandung dalam seluruh Nama Allah (Asmaul-Husna), iaitu Tuhan yang satu yang mempunyai segala sifat kesempurnaan dan kepimpinan Yang Maha Besar, Maha Tinggi serta Maha Kuasa.

Tidak ada yang patut disembah, dipuji, ditaati selain daripada Dia. Tidak ada yang benar-benar berkuasa, pengasih, penyayang dan pemurah selain daripada Dia. Seluruh manusia wajib melakukan ibadat kepada-Nya pada setiap tempat dan masa sebagaimana yang telah dilakukan oleh para Nabi, solehin dan syuhada sejak dahulu kala.

Lafaz Allah ini bukanlah manusia yang menamakannya, bahkan zat-Nya yang Maha Esa yang memberikan nama itu bagi diri-Nya. Kalimat Allah tidak dapat diterjemahkan dalam mana-mana bahasa kerana tiada satu kalimat atau kata-kata yang lengkap yang dapat mengumpulkan pengertian kalimat jalallah ini.

Allah, Tuhan yang mempunyai segala sifat kebesaran, Maha Esa dan Maha Kuasa. Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya, yang menjadikan alam semesta ini.

Lafaz Allah ini juga disebut lafaz Jalallah. Ia juga disebut Ismudz Zat yakni Zat yang menciptakan seluruh isi langit dan bumi. Dia-lah Tuhan seru sekelian alam. Dia-lah yang mengeluarkan segala sesuatu daripada tiada kepada ada.

Allah hanya satu (tunggal), tidak ada sekutu bagi-Nya. Antara nama Allah yang berjumlah 99 atau lebih itu, lafaz Allah inilah yang paling banyak disebut di dalam al-Quran, iaitu 2696 kali.

“Allah” ialah nama yang lebih besar daripada kesemua 99 nama-Nya sebagaimana yang disebut dalam riwayat at-Tirmizi bahawa Ia suatu Zat yang merangkumi semua sifat ketuhanan, sedangkan nama yang lain seperti al-‘Aliim (Maha Mengetahui), al-Khaaliq (Maha Pencipta) dan al-Quddus (Maha Suci) tidaklah bersendirian melainkan menghubungkan “Allah”.

Bagi kebanyakan nama-Nya yang lain bolehlah dinamakan kepada yang selain-Nya seperti Berkuasa, Berilmu, Penyayang, Pemurah, Pelindung, Pengawas dan sebagainya. Tidak ada Tuhan selain Allah. Jika ada Tuhan selain-Nya ternyata ia palsu, dan pasti alam ini telah lama binasa atau musnah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Kalau ada Tuhan selain Allah, di langit dan di bumi maka langit dan bumi itu pasti jadi binasa.”
(Surah al-Anbiyaa’ 21:22)

Keyakinan kepada Allah, keyakinan kepada Tuhan Yang Maha Esa. Ia merupakan pangkal daripada sistematis keyakinan dan kepercayaan, selanjutnya asas tentang seluruh ajaran Islam. Oleh itu kalau tauhid lemah, sistematis dan asas itu pun tidak kukuh. Kalau ia goncang, semuanya dibawa bergoncang. Kalau orang ingin memahami Islam, ia harus bertolak dengan memahami tauhid. Kalau orang mahu meyakini Islam, ia harus bermula dengan meyakini Allah.

Begitu juga untuk meyakini dan memahami Allah terutamanya dari segi sifat, perbuatan dan zat-Nya, kita haruslah mengetahui nama Allah yang berjumlah 99 atau lebih daripada itu. Hal ini merupakan antara cara untuk meyakini dan mengimani kebesaran dan kekuasaan Allah secara lebih berkesan.

Dari segi amalan, manusia terutamanya umat Islam perlu bergantung harapan memanjatkan doa hanya kepada Allah. Segala yang lain tidak mampu memberi mudarat atau manfaat tanpa izin Allah S.W.T.


p/s: my very first entry after a long dozed.... :)